Sunday, October 24, 2010

Cancer - Cara Merawat Atau Mengubati (3)

Ini merupakan sambungan pada entry no 1 dan 2 yang lepas. Semoga maklumat ini memberi kebaikan kepada kita semua...InsyaALLAH.

Cara merawat atau mengubati barah

Doktor akan merawat mangsa barah dengan cara yang sesuai dengan jenis barah dan peringkatnya. Antara rawatan yang diberi ialah:
  • Pembedahan untuk membuang keseluruhan ketumbuhan barah termasuk kawasan sekelilingnya serta kelenjar-kelenjar lymph yang berdekatan. Pembinaan semula dilakukan jika perlu seperti 'colostomy', iaitu membina salur najis di atas perut apabila usus dan dubur telah dibuang
  • Menggunakan radioterapi untuk memusnahkan sel-sel barah. Radiasi memusnahkan bahan genetik sel barah supaya ia tidak berupaya bercambah lagi. Tetapi radiasi juga turut memusnahkan sel yang normal. Proses pemulihan sel normal akan berlaku selepas itu. Selalunya dos radiasi yang selamat diberikan. Ia diberikan setiap hari selama 4 hingga 6 minggu. Kesan sampingan yang dialami ialah gatal kulit. Ini boleh dikurangkan dengan tidak membasuhnya, kemudian sapukan kerim. Kelesuan dan cirit-birit akan berlaku jika rawatan dibuat di bahagian perut. Rambut akan gugur jika rawatan dibuat di kawasan kepala, tetapi rambut akan tumbuh semula dalam tempoh 6 bulan. Kesembuhan untuk ketumbuhan setempat seperti di leher dan kepala kadang-kadang boleh dicapai dengan radiasi. Radiasi dilakukan selepas pembedahan untuk meningkatkan kesembuhan seperti pada buah dada. Radiasi juga boleh melegakan gejala-gejala barah terutamanya rasa sakit. Radiasi kadang-kadang dimasukkan sebagai susuk ke dalam mulut, lidah, rahim untuk mengurangkan pemusnahan sel-sel normal.
  • Kemoterapi iaitu dengan ubat-ubatan untuk memusnahkan kandungan genetik sel barah. Rawatan cara ini diberi bila barah telah merebak. Pemusnahan kandungan genetik mengakibatkan percambahan sel barah tidak sempurna, tetapi ia turut melibatkan percambahan sel normal. Kesan sampingan rawatan ini adalah keguguran rambut, loya dan pengurangan sel darah. Ini kerana sel di bahagian kulit, tulang sumsum dan perut bercambah dengan pesatnya.
  • Terapi hormon diberi pada barah yang bergantung kepada hormon untuk bercambah. Hormon penghalang pengeluaran hormon yang biasa diberi supaya sel barah ini berhenti bercambah.
Rawatan kombinasi juga diberi untuk barah seperti yang dihidapi oleh kanak-kanak. Pembedahan diikuti dengan radioterapi kemudian diikuti dengan ubat-ubatan. Dalam kes barah lukemia dan anemia tertentu, radiasi seluruh tubuh dilakukan sebelum pemindahan tulang sumsum dilaksanakan.

Kebanyakan jenis barah boleh diatasi jika dikesan pada peringkat awal. Oleh itu adalah penting untuk membuat ujian dan mengesannya di peringkat awal supaya rawatan serta merta dapat diberikan. Selepas sembuh, rawatan susulan adalah sangat penting terutamanya pemeriksaan di bahagian yang terlibat. Sekiranya mangsa barah boleh hidup dan sihat sehingga selepas 5 tahun, bolehlah berharap bahawa dia tidak akan lagi dihingapi barah.

Cara mengelak barah
Beberapa langkah boleh diambil untuk mengelak berlakunya barah seperti:
  • Elakkan dari terdedah kepada cahaya matahari secara terus menerus
  • Elakkan menghisap rokok
  • Elakkan menjalani sinar X kecuali jika benar-benar perlu
  • Kurangkan makanan yang mengandungi lemak yang tinggi
  • Lebihkan makanan yang mengandungi serabut yang tinggi
  • Kurangkan makan bahan-bahan manis
  • Tinggal di kawasan yang tidak tercemar udara
  • Pilih pekerjaan yang tidak mendedahkan diri kepada bahan-bahan yang boleh menyebabkan barah
Tujuh tanda-tanda barah

1] Perubahan tabii sistem pembuangan najis dan perkencingan
2] Kudis yang tidak boleh sembuh
3] Perdarahan atau lendir yang luar biasa
4] Ketumbuhan pada buah dada atau di tempat lain
5] Makanan tidak hadam atau kepayahan menelan
6] Perubahan ketara pada kutil atau tahi lalat
7] Batuk yang sentiasa ada atau serak suara



Sumber Rujukan :http://www.ittutor.net/forums/index.php?showtopic=29000

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...