Lukisan Dari Hati...

Cerpen 'Leraian Janji' telahpun diterbitkan dalam Majalah Mingguan Wanita pada tahun 2005...
Leraian Janji 

               Aku merenung kosong inai yang merah di jari jemariku. Lantaran hati yang bagaikan mati. Segala-galanya seolah-olah turut bersimpati dengan musibah yang terjadi. Akukah yang mereka gelarkan raja sehari? Cuma sehari. Dan sehari ini jugalah yang telah menghancur lumatkan impian dan harapan insan yang dicintai dan menyintai. Takdirkah yang bersalah? Atau tersilapkah suratan yang sudah dilakar di permaidani qadaq dan qadar? Hantaran yang tersusun rapi di atas katil pengantin, ku pandang sepi. Begitu indah gubahan ibu. Namun apalah ertinya satu keindahan jika cinta dihati telah diragut pergi? Mengapa kedukaan ini hadir dikala menjelang hari bahagiaku?
            “ Ops… sorry….”
Kurasakan pinggangku dirangkul kemas oleh sepasang lengan. Pantas mataku tertancap kukuh pada seraut wajah tampan yang sedang ‘menyembunyikan’ senyumannya. Mungkin gelihati melihat wajahku yang cemas. Nasib baiklah tubuhku sempat disambar lelaki ini…kalau tidak, tak dapat aku bayangkan bagaimana jika aku jatuh terlentang di ruang legar Pasaraya Carrefour minggu lepas. Terbahak-bahak ketawa yang terbit dari mulut Zarita tatkala insiden yang memalukan itu kuceritakan padanya. Memang itulah sikap Zarita, sentiasa ketawa dan seringkali menjadi bahan usikkan di pejabat dengan tubuhnya yang agak gempal.
            “ La… hang tak mau pi makan ka Liana?” Laung Zarita dari pintu pejabat. Suhana hanya tersengih dari jauh mempamerkan senyuman colgatenya.
            “ Hang pa pi la dulu. Sikit lagi nak habis ni…”
            “ I beli bungkus ya dekat you?”
Zakuan yang berdiri disisi mejaku tersenyum. Mempamerkan lesung pipit dikedua-dua belah pipinya yang menambahkan lagi ketampanan lelaki itu. Ku sedari sudah agak lama lelaki itu cuba untuk menghampiriku dengan lebih rapat melalui pelbagai pendekatan. Dan segala-galanya telah aku jelaskan bahawa dia hanya mampu untukku anggap sebagai sahabat. Untuk tidak mengecewakannya, aku hanya mengangguk lantas memesan sebungkus nasi goreng ayam. Mataku masih tertancap kukuh pada skrin komputer dihadapan. Jari jemariku semakin pantas menekan satu demi satu butang pada papan kekunci memandangkan hanya tinggal setengah jam sahaja lagi sebelum Tan Sri pulang ke pejabat setelah menghadiri mesyuarat di Hotel Puteri Pan Pacific. Laporan kewangan syarikat yang terkini perlu diserahkan kepadanya secepat yang mungkin, sebelum lelaki itu berhijrah mengikuti isterinya yang menetap diluar negara . Sepi menyelubungi suasana di ruang pejabat Nilam Holding, syarikat bumiputra yang semakin megah mencipta nama. Kedengaran hanyalah bunyi mesin fotostat yang laju mengeluarkan salinan laporan kewangan syarikat. Bunyi itu terhenti secara tiba-tiba dan hanya sebahagian sahaja daripada kertas yang terjulur keluar. La… time orang kalut nak cepat ni la dia buat perangai nyanyok dia tu… ngomelku pada mesin yang seringkali menimbulkan masalah. Puas sudah aku  membuka beberapa bahagian yang terdapat pada mesin, sana-sini sudah aku ketuk… apa lagi masalahnya mesin yang tetap kaku tidak berfungsi? Takkan nak kena tuang petrol baru nak hidup kot? Silap-silap hari bulan, hancur mesin ni aku kerjakan. Tak pun aku ‘sedekahkan’ pada lori Majlis Perbandaran yang memungut sampah setiap pagi. Panasnya hati disaat ini tidak dapat kugambarkan dengan kata-kata.
            “ Boleh saya bantu saudari?”
“Opocot mak engkau!” Aku terloncat kebelakang. Terkejut dengan suara lelaki yang rasanya terlalu hampir denganku. Tersirap darahku ditegur orang dalam suasana pejabat yang sunyi. Dan sudah pastilah adrenalinku berada pada tahap yang tinggi. Mataku tertancap pada seraut wajah yang sedang tersenyum. Mungkin gelihati mendengar aku melatah dek kerana terkejut.
“ Maafkan saya kerana telah membuatkan saudari terperanjat. Saya sekadar hendak membantu.”
 Dia bersuara lantas mematikan suasana sepi yang menyelubungi. Aku berundur beberapa tapak kebelakang untuk memberi ruang pada lelaki yang berkumis nipis itu memulihkan kembali ‘nyanyok’ mesin fotostat. Aku memerhati sahaja lelaki berkumis tipis itu. Siapa pulak mamat ni?. Tak pernah nampak pun? Handsomeamboi…wanginya… bisik hatiku agak nakal. Haruman yang digunakannya menusuk dan menjadikan aku terleka seketika. Muka ni macam pernah tengok… tapi…dimana ya? Atau orang baru? Hish…Kalau orang baru la, macam ni punya macho takkanlah si Zarita tak kecoh satu pejabat? Ntah-ntah customer tak? Bisik akalku sendirian. Lelaki itu seraya mendongak disertakan dengan senyuman, dia  seolah-olah mampu mendengar suara hatiku.
“ Saya nak jumpa Tan Sri Nasir. Dia ada tak? Boleh tunjukkan saya pejabatnya?”
Aku hanya menggangguk mengiakan kata-katanya. Terpaku mataku tatkala bertentang mata dengannya. Hah? Dia? Baru aku tersedar bahawa lelaki itulah yang telah merangkul pinggangku agar tidak tergelincir di Pasaraya Carrefour Seberang Jaya minggu lepas.
“ Hati-hati gadis manis…”
Masih terdengar suaranya setelah menyelamatkanku tempohari. Erm…. Kecilnya dunia ni… Bisik akalku. Tidak sampai lima minit, mesin nyanyuk itu kembali berfungsi. Derap sepatu yang sedang menghampiri bilik fotostat menarik perhatian kami secara serentak. Tersembul wajah Tan Sri Nasir dimuka pintu.
 “Ehem…. Kat sini rupanya dia… Liana… kenalkan, anak tunggal saya yang baru pulang dari Manchester… Adam Nashriq…. Adam,  ni Papa kenalkan, Adilla Liana, Setiausaha Papa” 
Suara Tan Sri Nasir menamatkan segala teka teki yang bermain dimindaku. Huluran tangan lelaki itu kusambut diiringi dengan senyuman manis. Wajah Adam Nashriq sama sekali tidak mempunyai persamaan dengan Tan Sri Nasir. Mungkin mengikuti wajah disebelah isterinya, Puan Sri Sarina. Fikirku setelah lelaki itu beredar mengikuti Tan Sri Nasir menuju kebiliknya. Hari demi hari, masa yang beredar saban detik meninggalkan sejuta kisah dan cerita. Aku semakin dapat menyesuaikan diri dengan Adam Nashriq yang telah menggantikan Tan Sri Nasir yang berhijrah ke luar Negara. Seorang ketua yang berdedikasi dan disenangi oleh seluruh kakitangan Nilam Holding.
“ Jadi… Liana ni dah berkahwinlah ya? Suami orang mana? Anak ada berapa?”
Burr !!!  Air tembikai yang baru kusedut tersembur keluar dari mulut secara spontan tatkala mendengar bicara lelaki itu.  Habis basah wajah Adam Nashriq dengan air ‘jampian’ mulutku. Terkial-kial dia membersihkan air dimuka.
“ Sorry…sorry… Tak sengaja…” Ujarku padanya dengan penuh rasa bersalah.
It’s okey… tak apa…”
Aduh… siapalah yang memandai menjatuhkan saham aku yang baru nak melonjak naik ni?
“ Hish… mana Liana kahwin lagi… Ni mesti si Wan yang buat cerita ”
“ La… jadi masih available la ni? Boleh tak saya nak cuba nasib?”
Suasana di Bukit Merah Lake Town Resort sempena hari keluarga tengah hari itu agak gamat dengan lawak jenaka kakaitangan Nilam Holding. Adam Nashriq menyapa mesra beberapa orang Jurutera syarikat yang melintas dihadapan kami. Lirikan matanya masih mencuri pandang kewajahku Mataku meliar disekitar kolam, mencari kelibat Zakuan yang sedari tadi asyik sibuk ‘memancing’ ikan darat. Pantang nampak gadis muda yang melintas, ada sahaja yang akan jadi bahan usikannya. Kata-kata itu sudah aku jangkakan semenjak sebulan dua yang lalu tatkala saban hari dia merisik khabar dan bertanyakan hal peribadiku melalui Zakuan yang suka benar berjenaka. Aku mula mengatur langkah menghampiri kumpulan yang bermain sukan air tanpa berkata sepatah perkataan pun. Mungkin dia hanya ingin bergurau dan ingin melihat reaksiku semata-mata.
“ Saya bersungguh-sungguh ni Liana…”
Laungan dia mematikan langkahku. Dan jika dia bergurau… aku juga ingin bergurau perkara yang sama biarpun hatiku melonjak gembira.
            “ Okey… datanglah ke rumah untuk masuk meminang…. Dua puluh ribu serba satu !!!”
Aku melaung kembali padanya. Sekadar bergurau kerana hatiku sedikit ceria tatkala malam tadi telah dimaklumkan sebagai pemenang cabutan bertuah pakej pelancongan ke Perth, Australia, dan Zarita merupakan pasangan yang perlu kubawa bersama dimana ianya juga dipilih secara undian. Zarita yang berada berdekatan denganku hanya ketawa terbahak-bahak mendengar gurauanku.
Petang Khamis sekembalinya aku dari Perth, Australia,  Ibu menyerahkan satu kotak baldu biru padaku. Kubuka dengan hati yang penuh debaran. Sebentuk cincin emas putih yang bertatahkan sebutir berlian begitu indah dipandangan. Aku memandang Ibu memohon satu penjelasan dengan kehadiran cincin emas putih tersebut. Kehadiran yang sama sekali tidak aku jangkakan!
“ Adam Nashriq menghantar pakcik dan makciknya sebagai wakil meminang semalam. Katanya mama dan papanya berada di luar negeri.Liana setuju tak? Fikirlah dulu, Ibu hanya mahukan yang terbaik buat anak Ibu.”
Kata-kata Ibu kubiarkan sepi. Keliru dengan tindakan si lelaki. Dan dengan kekeliruan itu jugalah telah menjadikan aku orang yang paling awal tiba dipejabat keesokkan harinya. Namun menjelang petang barulah dia muncul dengan penuh senyuman. Aku mengekorinya kedalam bilik kerana dia perlu memberikan penjelasan dengan segala tindakan yang telah diambil.
“ Nashriq tak pandai berkata-kata… Cuma..Kita nikah lepas raya ni nak tak?” 
Mulutku terlopong dengan ucapan ringkas itu. Tergamam dan seluruh urat nadiku kejang dan kaku!
Dia hanya tersenyum. Mempamerkan lesung pipit di pipi kirinya. Bahagia melihat wajahku yang merona kemerahan kerana malu.Aku  memandang wajahnya dengan seribu satu kekeliruan yang masih tidak terungkai. Itulah niat ikhlasnya. Aku hanya mampu mengalirkan air mata bahagia dengan lamaran yang tidak disangka-sangka itu. Tak perlu bertunang lama-lama dan sebaik sahaja mama dan papanya pulang dari Manchester, Kita terus bernikah. Itu katanya dan aku hanya mampu menggangguk akur kerana hati sudah lama terpaut!
 Putaran waktu dirasakan begitu cepat berlalu. Dan entah dari mana datangnya kuasa sakti yang telah mengikat hati kami dengan kalimah cinta tanpa kami sedari. Hubungan kami berjalan dengan lancar dan dipenuhi dengan kuntuman-kuntuman adab dan tertib yang sentiasa mengiringi . Aku bersyukur kerana Tan Sri Nasir dan Puan Sri Sarina tidak membantah hubungan kami. Tambahan pula cinta ini  diserikan dengan usikan-usikan nakal teman-teman sepejabat yang turut merestui pertalian jiwa ini. Setelah genap dua minggu seluruh umat Islam berpuasa, Adam Nashriq berada di Kanada atas urusan syarikat untuk beberapa hari. Tak pasti bagaimana di bersahur dan berbuka puasa. Dan aku dapat membayangkan wajahnya yang muram dek dibakar api rindu tatkala berjauhan dariku. Handphone yang berada dihujung meja berbunyi menandakan ada sms baru yang kuterima.
“ Jemput Nashriq kat Airport jam 6.30 petang lusa boleh? Nashriq rindu…”
pesanan ringkas yang kuterima membuatkan ku tersenyum sepanjang hari. Aku memandu Toyota Harrier milik Adam Nashriq menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas dengan penuh berhati-hati. Maklumlah, kereta orang dan  tambahan pula ianya adalah kereta yang dikategorikan sebagai kereta mewah. Kebetulan pula kereta aku masih berada di bengkel, dengan murah hati lelaki ini mengizinkan aku menggunakan keretanya sepanjang ketiadaanya    
Tangisan Puan Sri Sarina masih belum reda. Apatah lagi esakan ibu yang sedari tadi tidak menunjukkan tanda-tanda untuk surut. Dia terduduk di tepi kakiku. Tan Sri Nasir dan Zakuan pantas menenangkan lelaki yang dilanda kebuntuan itu. Aku bingung. Keliru dengan keadaan yang berlaku. Apakah dosa yang telah kami lakukan sehingga kami diuji sebegini hebat? Lelaki itu merenungku dengan pandangan sayu. Terbentang dihadapan kami adalah satu pandangan yang teramat kelam, gelap gelita dan tiada sinar cahaya walaupun sebesar zarah sekalipun. Aku keliru dengan apa yang sedang berlaku. Suasana begitu sunyi dan seolah-olah segalanya menjadi bisu. Aku bagaikan berada di dalam dunia yang terlalu asing.
“ Apa ni mama? Apa yang mama katakan ni?”
Masih jelas dipendengaranku akan kelantangan suara Adam Nashriq sebentar tadi. Aku menerpa keluar. Suasana diluar begitu sunyi dan sepi. Segala seolah-olah bisu. Lemah lututku melihat air mata Adam Nashriq yang merenungku sayu. Tuan Kadi hanya mampu menggeleng. Puan Sri Sarina yang kupanggil mama memeluk erat ibu yang duduk disisi Mak Su.
“ Adam Nashriq adalah saudara susuan pada Liana… jadi mereka haram untuk bernikah”
Kata-kata Ibu memberi jawapan diatas airmata lelaki Adam Nashriq. Debaran untuk bergelar isteri kepada Adam Nashriq hancur lumat dan tak ubah seperti debuan yang ditiup angin
“ Maafkan Imah kak… Imah tak tahu yang Nashriq ni abang sesusu dengan Liana. Sehinggalah kakak dan abang muncul dihari pernikahan Liana”
Kurasakan seolah-olah dihempap batu besar tatkala mendengar bicara mereka sebentar tadi. Sejarah lama yang tersimpan berpuluh tahun dibentangkan lantas menjadi racun berbisa yang menyirami hati kami. Ibu yang berada disebelah katil Puan Sri Sarina sewaktu melahirkanku telah menyusukan Adam Nashriq selama empat hari sewaktu Puan Sri Sarina koma setelah melahirkan  lelaki itu tiga puluh tahun yang lalu. Adam Nashriq masih membisu dan kaku. Hanya pandangan sayu dari matanya sahaja yang jelas membuktikan betapa parah dan remuknya hati dengan musibah yang terjadi. Lelaki itu berdiri, melepaskan satu keluhan yang maha berat. Dia mengangkat wajahku untuk merenung matanya. Luka dihati tak mampu untuk digambarkan dengan kata-kata.
            “ Nashriq tetap meyintai Liana…”
Dia mengusap pipiku dengan air mata yang masih mengalir dipipi. Itulah kali terakhir aku melihat wajahnya sehinggalah dia pulang ke Malaysia lewat setahun yang lalu.
            Bagaimana kukuhnya kasih dan cinta sesama manusia, dia masih tetap menjadi hamba yang perlu akur pada ketentuan yang telah tersirat di lembaran qadar dan qadar. Dan Allah akan menguji setiap hamba-hambanya yang disayangi.
“ Mari sayang, kita pulang.”
Zakuan merenung wajahku dengan penuh kasih sayang. Tanah perkuburan yang masih merah kami tinggalkan. Disinilah bersemadinya lelaki yang pernah aku kasih dan cintai dengan sepenuh hati. Arca cinta yang terpaksa dirobohkan, lima tahun yang lalu masih terpamer dengan jelas diruang mataku. Adam Nashriq yang membawa diri merantau ke Australia pulang ketanah air enam bulan yang lalu kerana disahkan mengidap HIV Positif yang mana virusnya disebarkan oleh isterinya yang berbangsa Inggeris melalui pemindahan darah. Michelle Natasha Binti Abdullah telah kembali ke rahmatullah sewaktu melahirkan puteri mereka Lily Adilla Liana yang mana kini sudah berusia dua tahun. Mujurlah Lily bebas dari virus yang membunuh itu. Adam Nashriq memilih namaku untuk puterinya kerana cintanya yang tidak pernah padam padaku. Lily Adilla Liana yang menunggu didalam kereta bersama ibu, ketawa riang melihat Iman Haiqal putera hatiku dan Zakuan yang berusia tujuh bulan terkial-kial mencapai mainannya. Zakuan memeluk bahuku penuh kasih. Lelaki itulah yang telah mengubati luka dihati ku lima tahun yang lalu.
Setelah membersihkan diri sekembalinya dari tanah perkuburan, aku merenung kotak sederhana besar pemberian Adam Nashriq di hari terakhirnya. Sebentuk cincin platinum bertatahkan sebiji batu berlian berkilauan dimataku. Hatiku merintih pedih. Itulah cincin perkahwinan yang sepatutnya disarungkan kejari manisku lima tahun yang lalu. Aku membaca sekeping kad kecil yang diletakkan bersama cincin dengan penuh sayu.


Cinta kita ibarat garam di  lautan…
Tetap tepu walaupun sejuta tahun hujan mencurah…
Kasih kita tetap kekal abadi lantas
Hati yang sudah tersimpul mati…
Janji masih termeteri  walaupun jiwaku seperti mati
Derita kita terhampar diatas sebuah permaidani sejarah …
Menampar rakus jiwaku luka berdarah…
Mencantum leraian kasih yang hakikatnya tidak akan kembali
Kerana ianya… sudah ketentuan ilahi…“
Mengasihimu setiap hembusan nafas,
Adam Nashriq
March 2002
Sydney, Australia

Air mataku kembali menitis, membasahi ucapan kudus lelaki yang suatu ketika dulu pernah berjanji sehidup semati denganku. Takdir dan hakikat yang telah tersurat bahawa kita tidak mungkin bersatu. Semadilah dikau dengan tenang... kasih sayang ini tetap tertancap kukuh disanubari dan tetap kekal menjadi nadi.



Hasil Nukilan,
IMAN KASANUN.
Bandar Mutiara
01 April, 2005 ~ 14 April, 2005



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...