Monday, October 18, 2010

Cancer - Asal Usul Barah (1)

Al-Fatihah buat seorang anak kenalan yang telah selamat kembali kerahmatullah pada 16hb Oktober, bersamaan dengan hari Sabtu jam 1:15 pagi yang lalu kerana mengidap penyakit 'Brain Cancer'. Beliau berusia 4 tahun++ sewaktu meninggal dunia. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan hamba-hamba yang dikasih dan dirahmati... Amin....


Asal-usul barah

Sel barah bermula dari sel-sel normal dalam tubuh. Hanya satu sel sahaja diperlukan untuk mencetus ketumbuhan barah. Proses perubahan dari sel normal menjadi sel barah berlaku secara sangat perlahan dan berperingkat-peringkat serta memakan masa bertahun-tahun. Pada setiap peringkat, sel-sel ini menjadi bertambah tidak normal bentuknya dan kian kurang terkawal.

Proses ini tidak menimbulkan apa-apa tanda atau kesakitan sehinggalah barah terjadi. Tetapi dalam sesetengah keadaan, seperti barah pangkal rahim, perubahan ini boleh dikesan melalui ujian seperti pap smear.

Cara barah membiak

Sel barah berupaya merebak hingga menjadikannya sangat merbahaya. Sel ini merebak dengan teratur bermula dari tisu-tisu di sekelilingnya. Kemudian sel-sel ini bercerai dan terkandung dalam cairan tisu tubuh, seterusnya masuk ke dalam saluran lymphatik dan ke dalam kelenjar-kelenjarnya. Dari sini sel barah menembus masuk ke dalam saluran darah.

Fungsi kelenjar lymp adalah menapis keluar sel-sel yang mati dan jangkitan. Sel barah lazimnya terperangkap di dalam kelenjar yang paling hampir dengan tempat barah terjadi. Sel-sel ini akan mati, tetapi lambat laun satu darinya akan mula bercambah dan mengakibatkan ketumbuhan kedua. Dari sini sel-sel itu akan merebak ke dalam saluran darah dan dibawa keseluruh tubuh mangsanya.

Mengapa barah terjadi?

Sebab terjadinya barah tidak diketahui, tetapi barah didapati biasa terjadi apabila seseorang itu sudah meningkat tua. Bertambahnya bilangan pesakit barah adalah disebabkan dewasa ini kita hidup lebih lama dari dulu. Satu teori lain pula mengatakan bahawa tubuh kita memang mengeluarkan sel-sel yang tidak normal, tetapi biasanya ia boleh dimusnahkan secara semulajadi. Namun begitu terdapat pada mangsa barah, sebilangan sel yang berupaya untuk terus hidup hingga mengakibatkan barah.

Ada juga barah yang diwarisi seperti barah mata (retina). Barah buah dada juga dikatakan ada kaitan dengan warisan untuk sesetengah mangsa.

Kebanyakan barah dipercayai berlaku akibat dari kemasukan sesuatu dari persekitaran seperti yang terbukti dari radiasi, kimia tertentu atau bahan-bahan lain. Cahaya ultra-ungu dari matahari juga boleh mengakibatkan barah. Bahan-bahan yang dimasukkan dalam makanan, ubat-ubatan dan tembakau juga boleh mengakibatkan barah.

Siapa dihidapi barah?

Kanak-kanak juga boleh menghidapi barah, iaitu lazimnya barah lukemia. Lukemia kerap mencari mangsa yang berumur antara 3 hingga 14 tahun. Kaum lelaki pula mengalami barah paru-paru, prostat, usus besar, perut dan pankrias. Kaum wanita yang malang dihinggapi barah buah dada, pangkal rahim, rahim, usus besar, paru-paru dan ovari.

Mengesan barah

Jika barah dapat dikesan pada peringkat awal sebelum ia merebak ke bahagian lain tubuh, rawatannya lebih mudah dan penyembuhan lebih mudah tercapai. Oleh itu pengdiagnosan yang seawal-awalnya sangat penting. Ketakutan kita pada penyakit barah ada kalanya melengahkan kita dari mendapat kepastian ini.

Barah boleh dikesan dengan berbagai cara seperti:
  • Sinar X dan imbasan
  • Biopsi atau mengambil secebis tisu dan diuji
  • Ujian cairan/lelehan dari tubuh seperti air liur dan lelehan pangkal rahim
  • Pemeriksaan darah untuk menguji fungsi hati dan tulang
  • Isotope; iaitu bahan radioaktif dimasukkan ke dalam tubuh, kemudian dikesan melalui sinar X
  • Termografi; iaitu mengesan suhu pada setiap bahagian yang terlibat. Sel barah lebih tinggi suhunya dari sel normal
Setelah dikesan dan diketahui jenis serta peringkat barah yang dihidapi, rawatan yang tepat dapat dimulakan. Tujuan rawatan ialah untuk memusnahkan semua sel barah.



Sumber Rujukan : http://www.ittutor.net/forums/index.php?showtopic=29000

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...